|
(Harakah) - Pilihan raya umum ke-12 berjaya
menghapuskan 'kepercayaan tahyul' bahawa hanya Umno/BN sahaja yang
boleh memerintah, kata Timbalan Ketua Pemuda PAS, Ustaz Nasrudin Hasan
Tantawi. Umno, katanya telah sekian lama menanamkan kefahaman di
kalangan orang Melayu bahawa hanya parti itu sahaja yang boleh
memerintah sehingga menjadi suatu keyakinan kepada masyarakat.
"Alhamdulilah, pilihan raya umum ke-12 baru-baru ini telah
menghapuskan keyakinan itu berikutan kekalahan Umno/BN di lima buah
negeri," katanya ketika berucap di dalam majlis penerangan anjuran PAS
Temerloh, dekat sini.
Nasruddin berkata, Umno kini berada di persimpangan walaupun parti
itu belum kalah secara total dan masih berkuasa tetapi perkembangan
semasa menunjukkan parti itu sedang menghadapi krisis kepimpinan yang
parah dan perebutan kuasa di kalangan mereka tidak dapat tidak pasti
akan berlaku. Beliau menyifatkan fenomena di dalam Umno bukan 'ibarat
retak menanti belah' tetapi 'ibarat belah menanti hancur'.
"Itu belum kalah secara total, baru kalah sedikit sahaja sudah
berlaku demikian," ujarnya.
Nasruddin yakin sekiranaya kelima-lima negeri yang dikuasai Pakatan
Rakyat rakyat mampu membawa pembaharuan dan kebaikan kepada raakyat,
tamadun BN akan musna dan akan diganti oleh Pakatan Rakyat menjelang
pilihan raya umum ke-13 akan datang.
Pakatan Rakyat, katanya telah menguasai 52 peratus undi di
Semenanjung, BN hanya diselamatkan oleh pengundi Malaysia Timur iaitu
Sarawak dan Sabah serta peneroka Felda di Semenanjung.
Sementara itu, Penasihat Undang-undang Parti KeAdilan Pahang, Ahmad
Nizam Abdul Hamid menyifatkan Umno/BN yang tidak memperdulikan nasib
rakyat (Melayu) sebelum pilihan raya umum, mula berubah wajah selepas
menerima pengajaran dalam pilihan raya.
"Sebelum pilihan raya mereka tidak bercakap pun mengenai perpaduan
Melayu, tiba-tiba selepas goyah dalam pilihan raya mula bercakap soal
itu, juak �juak digunakan untuk memperkatakan soal perpaduan Melayu,
dahulu mana suara Gapena, mana suara mereka, semuanya dibuat demi
kepentingan Umno," katanya.
Beliau berkata, perkembangan partinya selepas pilihan raya
menunjukkan sesuatu yang sangat menakjubkan di mana rakyat daripada
pelbagai kaum menunjukkan minat untuk menyertai Pakatan Rakyat sama
ada PAS, KeAdilan mahupun DAP.
Katanya di Temerloh sahaja pihaknya telah mengedarkan 3,000 borang
keahlian parti KeAdilan, ia suatu perkembangan yang sangat menakjubkan
bagi Pakatan Rakyat yang tidak pernah terfikir sebelum ini.
Ahmad Nizam yang juga Timbalan Ketua Parti KeAdilan Rakyat Temerloh
meminta semua pendokong parti memperteguhkan ketahanan jiwa, semangat
dan bekerja lebih kuat untuk memastikan Pakatan Rakyat terus berjaya. |