|
(Harakah) - Presiden Parti Keadilan Rakyat (KeADILan)
Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail bersedia dan sanggup memikul tanggung
jawab sebagai Perdana Menteri jika mendapat sokongan wakil-wakil BN
yang melompat parti khususnya di Sabah dan Sarawak. Beliau
bagaimanapun tidak memaksa wakil-wakil rakyat BN di Sabah dan Sarawak
untuk menyertai Pakatan Rakyat.
"Saya juga tidak pasti bila mereka akan menyertai Pakatan Rakyat,"
katanya ketika ditemui wartawan selepas sidang media atas kunjungan
bapa Altantuya Shaariibuu di pejabatnya semalam.
Katanya mereka yang hendak lompat parti dan mahu menyertai Pakatan
Rakyat hendaklah dengan niat untuk meninggalkan parti perkauman serta
mahu menegakkan keadilan.
Kelmarin ketua umum KeADILan Dato' Seri Anwar berkata, beberapa
ahli parlimen BN di Sabah telah membuat keputusan untuk menyertai
Pakatan Rakyat dan sedang menunggu masa sesuai, selewat-lewatnya
pertengahan September.
Anwar berkata, apabila ahli Parlimen Sabah menarik diri dari
Barisan Nasional (BN) pada malam ini, esok juga BN akan tumbang dan
Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi akan jadi Ketua Pembangkang.
Sebelum itu, Wan Azizah turut menggesa Perdana Menteri Abdullah
Badawi dan Menteri Luar menjawab surat Perdana Menteri Mongolia
berhubung perbicaraan kes pembunuhan Altantuya Shaariibuu.
Wan Azizah berkata, semalam bapa Altantuya, Dr. Shaariibuu Setev
mengadakan kunjungan untuk bertemu dengannya dengan membawa hasrat
kerajaan Mongolia dan rakyat negara itu tentang ketelusan dan keadilan
Malaysia dalam kes anaknya itu.
Tegasnya, Malaysia harus dilihat sebuah negara yang adil khususnya
dalam kes ini sekali gus meletakkan imej Malaysia di mata dunia.
"Kita mestilah dilihat sebuah negara yang adil dan saksama dan
menjamin keadilan itu sebagai asas negara kita.
"Persoalanya kenapa surat daripada Perdana Menteri Mongolia dan
Menteri Luar negara itu kepada PM kita tidak terjawab sehingga kini,"
katanya dalam satu sidang media di pejabatnya.
Sementara itu, Shaariibuu yang turut sama dalam sidang media kesal
dengan sikap kerajaan Malaysia yang seolah-olah melengah-lengahkan
perbicaraan kes mendiang anaknya.
"Banyak kali saya datang ke Malaysia dan mahu mengikuti perbicaraan,
tetapi mahkamah menangguhkan perbicaraan itu atas alasan banyak kes
perlu dikendalikan," katanya.
Tegasnya, kemelut yang berlaku ini bukan atas dasar peribadi tetapi
ianya juga membabitkan hubungan dua buah negara iaitu Malaysia dan
Mongolia.
"Jika Malaysia tidak adil dalam kes anak saya dan tidak respons
surat berkenaan kerajaan Mongolia tidak teragak-agak akan memutuskan
hubungan dengan Malaysia," katanya.
Shaariibuu tiba di negara ini kelmarin, bagi mengikuti perbicaraan
ke atas dua anggota Unit Tindakan Khas (UTK) Bukit Aman, Cif Inspektor
Azilah Hadri, 32, dan Koperal Sirul Azhar Umar, 36, yang dituduh
membunuh model kelahiran Mongolia berusia 28 tahun itu.
|