|
Bernama - Hasrat Parti Keadilan Rakyat (PKR) untuk mengambil alih
pentadiran negara dalam masa beberapa bulan akan datang tidak mustahil
dan boleh menjadi kenyataan, kata Ketua Umno Bahagian Gua Musang
Tengku Razaleigh Hamzah.
Beliau berkata ini kerana memang ada kemungkinan anggota Parlimen
Barisan Nasional (BN) "menyeberang" ke pihak Pembangkang.
"Ini bukan cakap main-main, tak boleh kata ini tak boleh berlaku.
Orang di Sabah tak begitu kuat rasa kecintaannya terhadap Umno, tak
macam kita di sini yang lahir dan membesar dalam Umno dan segala benda
yang kita sentuh ada kaitan dengan Umno.
"Saya juga tengok kebanyakan Anggota Parlimen yang terpilih adalah
orang kuat (Datuk Seri) Anwar (Ibrahim) dulu dan mereka masih
berhubung rapat dengan Anwar," katanya semasa sesi pertemuan dengan
anggota Umno dari cawangan-cawangan sekitar Subang Jaya di sini hari
ini.
Anggota Parlimen Gua Musang itu juga yakin Anwar serius dengan
hasratnya mahu mengambil alih kerajaan.
"Tadi kebetulan semasa datang ke sini saya naik satu kapal terbang
dengan beliau dan saya tanya beliau sendiri, dan beliau kata beliau
serius," katanya.
Tengku Razaleigh berkata berdasarkan kepada faktor-faktor itu,
pemimpin BN wajar mengambil serius kenyataan Anwar kerana dengan hanya
30 kerusi Parlimen, kerajaan BN boleh tumbang.
"Jangan fikir kita boleh terus berkuasa. Kena ambil tindakan tegas
untuk atasi masalah ini," katanya yang turut melahirkan kebimbangan
dengan sikap pemimpin BN sekarang berhubung isu itu.
Mengulas lanjut perkara itu kepada pemberita kemudian, beliau
berpandangan pemimpin BN sekarang bersikap seolah-olah pengambilalihan
kuasa oleh pembangkang tidak akan berlaku.
Ditanya mengenai keyakinannya bahawa terdapat kemungkinan Anggota
Parlimen dari Sabah menyertai PKR, Tengku Razaleigh berkata keyakinan
itu berdasarkan "suara-suara" dari negeri itu yang antara lain
mengatakan bahawa mereka masih kurang senang dengan keadaan sekarang.
"Daripada apa yang saya dengar, mereka tidak mendapat apa yang mereka
minta, misalnya lebih banyak perwakilan, maka perkara ini perlu
diselesaikan," katanya.
Kepada soalan lain, Tengku Razaleigh berkata beliau akan tetap
bertanding jawatan presiden Umno sekalipun ketika pemilihan parti pada
Disember nanti, jawatan itu telah dipegang oleh orang lain.
"Kalau saya diberi mandat saya akan bertanding," katanya sambil
menambah setakat ini hasrat beliau disambut baik oleh kebanyakan
bahagian Umno.
|