|
Saya merujuk kepada kenyataan Timbalan Perdana Menteri merangkap
Menteri Pertahanan Malaysia yang dilaporkan oleh akhbar tempatan hari
ini (April 25, 2008) tentang pemecatan Iran dari Pameran dan
Persidangan Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) 2008 di Kuala Lumpur
atas alasan negara tersebut telah melanggar resolusi 1747 dan 1803
Majlis Keselamatan Bangsa-Bangsa Bersatu. Resolusi-resolusi tersebut
melarang sama sekali memindah dan menjual kepada negara lain bahan dan
peralatan yang boleh membunuh dan memusnah.
Nampaknya dalam hal ini, Malaysia telah tunduk kepada desakan dari
Amerika Syarikat dan rakan-rakan sekutunya. Pameran ini adalah untuk
semua negara berdaulat yang ingin mengambil bahagian secara bebas,
bukan untuk menjual senjata dan alat pertahanan lain. Oleh itu,
Malaysia sebagai tuan rumah bebas menjemput negara yang sanggup
mengambil bahagian tanpa syarat. Kerana itu Iran telah dijemput oleh
Malaysia untuk mengambil bahagian dalam DSA2008. Mustahil sekali
apabila Malaysia membuat keputusan tergempar tentang penyertaan Iran
itu. Malaysia sebagai negara berdaulat dan bermaruah sepatut
mengamalkan dasar laur yang bebas dan tidak boleh tunduk kepada arahan
dari Amerika Syarikat dan kuasa lain.
Oleh yang demikian, saya berasa dukacita dengan tindakan Timbalan
Perdana Menteri merangkap Menteri Pertahanan terhadap tetamu kita,
Iran.
ANWAR IBRAHIM
|