|
KUALA LUMPUR, 30 April (Harakah) -
KeADILan melahirkan kekesalan dengan pengurusan serta pentadbiran
Parlimen Malaysia yang tidak mengiktiraf dan menghormati kedudukan
Ketua Pembangkang dalam Dewan Rakyat.
Dalam satu kenyataan media, Naib Presiden KeADILan, Mohd Azmin Ali
tidak berpuas hati dengan sesi soal jawab lisan Dewan Rakyat yang
membelakangkan ahli-ahli parlimen pembangkang.
"Ia
seolah-olah menunjukkan pihak pentadbiran parlimen memberikan
keutamaan kepada pertanyaan jawab lisan yang dikemukakan BN," ujarnya.
Menurutnya, pentadbiran Parlimen telah gagal menunjukkan ketelusan dan
keadilan jika diteliti bilangan ahli parlimen Pakatan Rakyat (pembangkang)
yang berjumlah 82 orang berbanding 77 ahli parlimen ahli penyokong BN.
"Melihatkan
kepada nisbah ini, kita patut ada 52 peratus. Dan BN hanya 48 peratus.
Jadi kalau mereka boleh uruskan sepuluh soalan, maksudnya kita patut
dapat sekurang-kurangnya enam (soalan), berbanding mereka empat."
katanya.
Kebiasaannya, Dewan Rakyat hanya dapat melayan 10 pertanyaan jawab
lisan sehari dalam tempoh yang diperuntukkan.
Mohd
Azmin, yang juga Ahli Parlimen Gombak, berkata wakil-wakil rakyat
Pakatan Rakyat diberikan sedikit sahaja peluang bertanyakan soalan.
"Sekarang
saya melihat, daripada 10 soalan, kami hanya diberi dua. Ini tidak
adil," katanya Jumaat lalu.
"Kedua,
mereka patut beri keutamaan pada ketua pembangkang. Soalan pertama
pada hari itu patut diberikan kepada ketua pembangkang dan ini tidak
dilakukan. Soalan daripada Dr Wan Azizah (Wan Ismail) berada di nombor
ketiga. Jadi ini tidak adil.
"Saya
tidak tahu apa peranan (Dato' Seri) Nazri (Aziz) dalam memutuskan
urutan soalan. Tetapi saya rasa Speaker Dewan Rakyat patut memainkan
lebih peranan untuk memastikan kita melindungi kebebasan parlimen,"
katanya.
Justeru, KeADILan menggesa Yang diPertua Dewan Rakyat yang baru agar
memainkan peranan sebenar Parlimen ke arah mengembalikan kebebasan
institusi Parlimen dan memandu perjalanan persidangan berdasarkan
lunas perlembagaan dan prinsip keadilan.
Parti itu juga akan mengatur pertemuan dengan YDP Dewan Rakyat dengan
segera bagi membincangkan hal tersebut seterusnya menyelesaikan isu
yang berbangkit. - mks.
|