|
Oleh Harakahdaily
Sabtu, 07 Jun 2008
KL: Ketua Pemuda PAS,
Salahuddin Ayub tidak akan teragak-agak untuk berdebat secara langsung
dengan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Dato'
Shahrir Samad mengenai kenaikan harga minyak.
Jelas Salahuddin, beliau akan menggunakan
peluang dan ruang sebaik-baiknya serta akan mengemukakan hujah-hujah
yang lebih 'emperical' bagaimana seharusnya kerajaan bertindak dalam
menghadapi pengurangan subsidi dengan menteri berkenaan secara
langsung melalui saluran RTM pada 9.30 malam, 10 Jun ini (Selasa).
Beliau berkata demikian dalam sidang media
mesyuarat Exco Dewan Pemuda PAS di Pejabat Agung PAS, Jalan Raja Laut,
hari ini.
Katanya, kesan kenaikan harga minyak yang
tidak munasabah ini merupakan isyarat terakhir kepada Perdana Menteri,
Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi supaya meletak jawatan.
Kerajaan katanya juga tidak mengambil
pengajaran daripada tsunami politik yang berlaku selepas pilihan raya
lalu.
"Hari ini rakyat mungkin kesal kerana tidak
memberi pelapis kepada kami. Jika kami memerintah mungkin situasi ini
tidak berlaku," katanya.
Jelasnya situasi yang berlaku hari ini, rakyat
berdepan dengan kenaikan harga barangan seperti kenaikan harga beras
dan minyak masak yang menjadi keperluan harian rakyat.
"Jika sebelum ini bagi rakyat yang
berpendapatan rendah, mereka terpaksa membeli beras yang berharga RM18
untuk 10 kilogram, tetapi kini harga tersebut telah melambung.
"Jika semua menteri pada hari Perdana Menteri
mengumumkan kenaikan harga minyak itu tersenyum, apa mesej sebenarnya
yang ingin mereka sampaikan kepada rakyat?" soalnya.
Sementara itu katanya, pihaknya akan
menghantar memorandum bantahan kepada Perdana Menteri di pejabatnya di
Putrajaya 10 Jun ini.
Tambahnya Pemuda PAS bersama Angkatan Muda
KeADILan (AMK) akan turut mengadakan bantahan melalui perhimpunan aman
pada 13 Mei ini pada jam 2.00 petang yang bermula dari Menara City
Bank ke KLLC.
Jelasnya beliau menerima banyak sistem pesanan
ringkas (sms) sebagai respons mengenai perhimpunan tersebut.
Sehubungan itu beliau tidak menolak kemungkinan lebih 10,000 orang
akan menyertai daripada pelbagai kelompok masyarakat.
Dalam pada itu beliau juga menaruh keyakinan
perhimpunan tersebut akan berlangsung dengan aman dan terkawal.
"Berdasarkan pengalaman perhimpunan Bersih
yang lalu, satu perhimpunan yang agak besar tetapi berlaku dalam
keadaan aman. Kami akan pastikan perhimpunan itu berlangsung dengan
aman. Dan kami akan memohon permit bagi perhimpunan aman itu," katanya.
Ditanya sama ada pihaknya akan tetap
meneruskan perhimpunan walaupun tidak mendapat permit, beliau secara
berseloroh menjawab, " Itu biasa..." katanya yang disambut ketawa
pihak media.
Sementara itu, Salahuddin yang juga Ahli
Parlimen Kubang Kerian menyatakan dalam sesi Parlimen lepas, beliau
dan Ahli Parlimen Pakatan Rakyat yang lain banyak membangkitkan
mengenai isu Petronas yang banyak 'disembunyikan' kerajaan.
"Hasil Petronas dijual satu hari 700,000 tong
dan semua rakyat mengetahuinya. Kenapa hanya dijual 700,000 tong
sehari dengan harga pasaran untuk tempoh enam bulan akan datang dengan
130,000 dolar satu tong? Dengan keuntungan yang agak tinggi, kerajaan
tidak mahu menanggung subsidi.
"Jadi, kami mempunyai hak untuk bertanya
kerajaan dan mengesyaki adakah kerajaan telah menjual ke hadapan
minyak di Malaysia dengan harga yang rendah yang mungkin dengan harga
30 dolar satu tong untuk satu tahun bagi kerajaan melaksanakan projek
mega serta 'bail out' projek mega yang gagal," katanya.
Sehubungan itu katanya, dalam sesi Parlimen
akan berlangsung pada 23 Jun nanti, beliau akan mengulangi desakan
terhadap kerajaan agar mengisytiharkan penyata kewangan Petronas
kepada Parlimen.
"Kenapa PM terlalu ingin merahsiakan mengenai
akaun Petronas ini? Beliau mesti memberitahu kepada rakyat subsidi
yang ditanggung serta keuntungan yang diperolehi dan ke manakah
keuntungan tersebut dibelanjakan," katanya.
Sementara itu, menjawab soalan yang
dikemukakan wartawan adakah Ahli Parlimen Pakatan Rakyat tidak cukup
kuat untuk membawa isu dan permasalahan yang dihadapi rakyat termasuk
kenaikan harga minyak, jelasnya semua Ahli Parlimen Pakatan Rakyat
telah menggunakan segala ruang yang ada di Dewan Rakyat bagi
menyampaikan suara rakyat kepada kerajaan.
"Kami telah membahaskan Titah Diraja,
menyampaikan usul dan mengemukakan soalan terhadap menteri sewaktu
sesi soal jawab. Apa lagi ruang yang perlu kami lakukan di Parlimen?
Cuma kami belum lagi 'berdiri di atas meja Parlimen," katanya, sinis.
Tegasnya, Ahli Parlimen Pakatan Rakyat bukan
gagal membawa suara rakyat sebaliknya pihak kerajaan yang berdegil dan
tidak mendengar langsung rintihan rakyat.
|