|
KUALA LUMPUR, 18 Mei (Harakah) - Tindakan
Ahli Parlimen Jerlun, Dato' Mukhriz Mahathir untuk mengaitkan Ketua
Umum KeADILan, Dato' Seri Anwar Ibrahim dengan golongan anti-Islam
Amerika dan pelobi Yahudi antarabangsa sebenarnya memalukan mantan
Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad.
Menurut Setiausaha Agung
KeADILan, Dato' Salehuddin Hashim, rakyat berhak berasa malu tatkala
Mahathir ketika menjawat PM mengupah pelobi Amerika pro-Zionis, Jack
Abramoff dengan bayaran RM4.6 juta demi memastikan pertemuan antaranya
dengan Presiden George Bush terlaksana.
"Abramoff telah menyatakan
kekesalan beliau merasuah ahli-ahli politik Amerika dan menipu puak
peribumi Amerika di dalam casino deal dan Mahathir sendiri
telah mengaku bahawa wang yang dibayar untuk menjamin pertemuaan pada
Mei 2002 tersebut hanyalah 'sesuatu yang normal'.
"Pendedahan terbaru oleh Suruhanjaya Diraja
menggambarkan Mahathir sebagai seorang manusia yang tidak mempunyai
pertimbangan nyata untuk membelanjakan sejumlah wang yang besar untuk
meluaskan pengaruh," jelas Salehuddin dalam kenyataan media yang dimel-e
kepada Harakah.
Menurutnya, Anwar tidak membayar kepada
sesiapapun untuk dijemput menemui pemimpin antarabangsa dan para
pemimpin dunia Islam, malah pandangan beliau senantiasa dipandang
tinggi dan diterima.
"Serangan Mukhriz jelas menggambarkan tindakan
terdesak beliau yang mahu mengalihkan pandangan umum daripada laporan
Suruhanjaya Diraja yang mengaitkan bapanya terlibat dalam salah guna
kuasa dan pemusnahan sistematik integriti kehakiman negara," tegas
Salehuddin.- tajdid
|