|
(Harakah) - Perdana Menteri Dato'
Seri Abdullah Ahmad Badawi sekali lagi dibidas kerana membelanjakan
jumlah peruntukan yang besar sebanyak RM1,134,401.40 setahun untuk
menanggung tiga penasihat beliau. Tiga
penasihat ialah Penasihat Petronas Tun Dr. Mahathir Mohamad;Penasihat
Agama Islam Tan Sri Abdul Hamid Othman dan Penasihat Khas Hal Ehwal
Pembangunan Wanita & Sosial Dato Shahrizat Abdul Jalil.
Dalam jawapan bertulis Abdullah kepada soalan
lisan Ahli Parlimen Zulkifli Noordin (KeADILan- Kulim Bandar Baharu)
menyatakan bahawa peruntukan seperti gaji, emolumen, elaun dan kos
untuk penasihat Petronas itu berjumlah RM15,000-00 sebulan.
Ini tidak termasuk kemudahan yang disediakan
seperti kos kakitangan, pejabat, logistik dan lain-lain yang tidak
diberikan jumlahnya.
Manakala peruntukan untuk Penasihat Agama
Islam pula ialah RM27,163.00 sebulan dan RM18,643.25 untuk gaji serta
elaun kakitangan.
Bagi Shahrizat selaku Penasihat Wanita, beliau
dibayar RM33,727.20 sebulan dan tidak termasuk gaji dan elaun
kakitangan yang masih dalam proses kelulusan JPA.
"Ini adalah satu jumlah yang besar untuk
menanggung tiga orang Penasihat yang tiada sebarang fungsi ataupun
fungsi yang bertindih (duplicate).
"Sedangkan Abdullah sudah punya Lembaga
Pengarah Petronas, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Bahagian Agama
Dato' Dr. Zahid Hamidi dan Menteri Pembangunan Wanita & Sosial Dato'
Ng Yen Yen untuk menasihati beliau dalam hal-hal berkaitan," kata
Zulkifli dalam blognya.
Katanya perkara ini merupakan satu
penyalahgunaan dan pembaziran wang rakyat sedangkan pemimpin sentiasa
mendengar rintihan rakyat miskin samada yang disuarakan dalam Parlimen
atau diluar di Semenanjung, Sabah dan Sarawak.
Tambah Zulkifli lagi wang rakyat berjumlah
RM1.2 juta itu boleh menanggung seorang anggota polis selama 12,371
bulan atau 1,030 tahun (pada kadar gaji RM900.00 sebulan) manakala
dengan peruntukan penasihat itu boleh membina 36 biji rumah untuk
rakyat miskin pada kadar RM25,000.00 sebuah rumah.
"Mengapakah perlu wang rakyat sebanyak ini
dibazirkan kepada 'dinasour' Umno, pupusan Wanita Umno dan golongan
pencen Umno?
"Kita berdoa semoga rakyat tidak kira apa
bangsa dan agama akan celik mata melihat sandiwara keangkuhan dan
kesombongan rejim Umno dan BN ini," katanya yang juga seorang peguam.
|