|
PETALING JAYA, 6 Mei (Hrkh) - Pengendali blog Malaysia Today,
Raja Petra Kamaruddin enggan membayar ikat jamin RM5,000 yang
mengakibatkan beliau dipenjarakan di Sungai Buloh sehingga tarikh
kesnya bermula.
Beliau yang ditemani isterinya Marinah Lee, akan dibicarakan pada
pada 6 hingga 10 Oktober depan di Mahkamah Seksyen di sini.
Menurut salah seorang peguambela William Leong, Raja Petra meminta
rakyat negara ini yang menyokong prinsip demokrasi agar menyumbang RM1
setiap seorang bagi menjelaskan ikat jamin tersebut.
Katanya apabila ditemui di luar mahkamah, Raja Petra mengharapkan
sokongan daripada rakyat, memandangkan apa yang dibuat itu semata-mata
untuk rakyat.
Selepas tarikh perbicaraan ditetapkan, Raja Petra yang masih dalam
kandang tertuduh dilihat menghulurkan kedua-dua tangannya manakala
salah satu tanganya memegang kad pengenalan kepada anggota polis.
Bagaimanapun anggota polis meminta beliau bertenang supaya memberi
laluan kepada wartawan untuk beredar dari mahkamah.
Raja Petra yang dibawa keluar melalui pintu belakang mahkamah
kemudian dimasukkan ke dalam lokap mahkamah sebelum trak polis sampai
untuk dibawa ke Sungai Buloh.
Sebelum itu, Raja Petra diminta menyerah diri di kompleks mahkamah
Jalan Duta pada jam 9.30 pagi ini untuk menghadapi tuduhan menghasut
berhubung artikel yang ditulis dalam blognya.
Bagaimanapun, ketika beliau sedang menunggu di Mahkamah Majistret
Kuala Lumpur beliau menerima panggilan telefon dari pihak polis
kira-kira jam 10.20 pagi supaya hadir di mahkamah Petaling Jaya.
Artikel tersebut didakwa mengaitkan timbalan perdana menteri, Datuk
Seri Najib Tun Razak dan isterinya dalam pembunuhan seorang wanita
muda Mongolia.
Beliau didakwa mengikut Seksyen 4(1)(c) Akta Hasutan kerana
menyiarkan artikel berunsur hasutan pada 25 April dalam Malaysia
Today.
Kertas pertuduhan itu memuatkan sembilan perenggan dalam artikelnya
yang didakwa berunsur hasutan.
Pendakwaan dibuat oleh timbalan pendakwaraya Nordin Hassan manakala
Raja Petra diwakili oleh sepasukan enam peguambela yang diketuai oleh
Karpal Singh.
Turut hadir ialah pemimpin Ketua Penerangan PAS Pusat, Mahfuz Omar,
Ketua Pemuda PAS Salahuddin Ayub, Presiden KeADILan Datin Seri Wan
Azizah Wan Ismail, Penasihat DAP Lim Kit Siang dan Ronnie Liu, Ahli
Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar serta beberapa orang
pengendali blog.
Pada 25 April, Raja Petra menyiarkan satu artkel bertajuk 'Let's
send the Altantuya murderers to hell' dalam blognya, Malaysia Today.
Artikel itu mengaitkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib
Razak dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor dalam kes berprofail
tinggi itu. Najib kemudiannya menafikan perkara itu melalui setiausaha
akhbarnya, Tengku Sariffuddin Tengku Ahmad. Rosmah juga telah
menafikan dakwaan terhadapnya itu. - mr |