|
Oleh Utusan, Jumaat, 16 Mei 2008
KL: Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR),
Mohamed Azmin Ali hari ini tidak menafikan dakwaan Ahli Parlimen
Jerlun, Datuk Mukhriz Mahathir bahawa Penasihat parti itu mempunyai
hubungan baik dengan perancang utama pencerobohan Amerika Syarikat
(AS) ke atas Iraq, Paul Wolfowitz.
Beliau berkata, namun persahabatan Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan
Wolfowitz yang juga seorang Yahudi itu digunakan bagi menegaskan
mengenai soal keadilan dan kebenaran.
''Kita desak supaya tentera AS diundurkan dari bumi Iraq, kita desak
pengagihan bantuan tsunami di Acheh dilakukan dengan adil dan kita
desak nama ulama tersohor, Dr. Yusof Qardhawi dibersihkan daripada
disenaraihitamkan.
''Saya nak tanya pemimpin UMNO mana yang berani mendesak Presiden
George Bush bersihkan nama Qardhawi.
''Malah kerajaan sanggup tidak menerima kehadiran Menteri Luar
Palestin dari Hamas kerana desakan AS. Jadi UMNO dan Barisan Nasional
(BN) yang sebenarnya tunduk kepada AS dan Yahudi, bukan Anwar,"
katanya di lobi Parlimen di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Mukhriz yang
dibuat sewaktu perbahasan menjunjung kasih titah ucapan Yang
di-Pertuan Agong yang mengaitkan Anwar sebagai agen Yahudi berikutan
hubungan baiknya dengan Wolfowitz.
Mukhriz dalam ucapannya Isnin lalu mendedahkan hubungan akrab Anwar
dengan bekas Timbalan Setiausaha Pertahanan AS itu hingga Anwar
dilantik menjadi Pengerusi sebuah yayasan yang diterajui Wolfowitz
yang juga dikatakan penganut fahaman neo-konservatif.
Menurut Azmin, kenyataan Mukhriz itu secara jelas boleh dilihat
sebagai mewakili apa yang hendak disampaikan oleh bapanya, Tun Dr.
Mahathir Mohamad.
''Itu bukan ucapan dia (Mukhriz), tetapi ucapan bapa dia kerana bapa
dia tak dapat masuk Parlimen dia gunakan anak dia untuk lempar tuduhan
ini,'' katanya.
|