Nabila
Abdullah
Sun | May 18, 08 | 12:44:22 pm MYT
KOTA KINABALU, 18 Mei (Harakah) - Ketua
Angkatan Muda KeAdilan Sabah (AMK), Abdul Razak Jamil membuat laporan
polis terhadap kenyataan Ahli Parlimen Kota Belud, Abdul Rahman Dahlan
yang mendakwa kononnya cuba disogok 'duta kecil' pembangkang negeri
itu.
Laporan polis dibuat 16 Mei lalu pada jam 3.00
petang di Balai Polis Karamunsing.
Abdul Razak diiringi Ketua Pemuda PAS negeri,
Anuar Ali, Setiausaha Pemuda PAS negeri, Lahirul Latigu, Ketua
Bahagian KeADILan Kota Belud, Jalumin Samin, bekas Timbalan Ketua
Bahagian KeADILan Kimanis, Suliawan Alladad, Mantan Setiausaha AMK,
Ramlan Naim dan Pengerusi Persatuan Orang Sungai, Ahmad Abdul.
Menurut Abdul Razak, AMK Sabah mahu polis
menyiasat kebenaran dakwaan Abdul Rahman di bawah Kanun Keseksaan Akta
574 dan Akta Pilihanraya kerana yakin ianya satu fitnah kepada parti
pembangkang Sabah.
Beliau yang juga seorang peguam berpendapat
Abdul Rahman telah melakukan kesalahan di bawah Akta Pencegahan Rasuah
kerana gagal melaporkan cubaan merasuah itu kepada Badan Pencegah
Rasuah (BPR).
"Saya mencabar Abdul Rahman untuk mendedahkan
siapa 'duta kecil' yang menawarkan jutaan ringgit untuknya menyertai
Pakatan Rakyat.
"Tindakan Abdul Rahman sebenarnya menunjukkan
BN gelabah dengan penerimaan positif masyarakat terhadap Pakatan
Rakyat lantas cuba memberikan gambaran negatif Pakatan Rakyat di mata
rakyat," katanya.
Abdul Rahman baru-baru ini mendakwa parti
pembangkang yang terdesak untuk menjatuhkan kerajaan BN sanggup
menawarkan ganjaran besar 'yang boleh memberi kesenangan hidup kepada
dua tiga generasi' jika beliau melompat parti.
Pemimpin Pemuda Umno itu juga mendakwa telah
dikunjungi 'duta kecil' pembangkang minggu lalu serta minggu
sebelumnya, yang cuba memujuknya menyertai Pakatan Rakyat dan
dijanjikan sejumlah wang serta kedudukan dalam kerajaan.
Sebelum ini, pembangkang yang menang 82
daripada 222 kerusi Parlimen pada pilihan raya umum lalu, mendakwa 30
Ahli Parlimen BN, kebanyakannya dari Sabah akan menyertai mereka bagi
membolehkan Pakatan Rakyat membentuk kerajaan dengan majoriti mudah.
- tajdid
|